Anugerah Seri Angkasa mula diperkenalkan pada tahun 1972 oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM). Ia bersempena nama Kompleks Angkasapuri sebagai tempat beroperasinya siaran radio dan televisyen yang pertama di Malaysia.
‘Angkasa’ juga melambangkan ketinggian dengan konsep yang luas terbuka dan memayungi alam. Anugerah sebegini adalah untuk memartabatkan dan mengiktiraf penggiat seni industri kreatif penyiaran tanah air khususnya pekerja di belakang tabir seperti kru penerbitan dan siaran, penerbit, pereka, juruhebah, penyampai dan kru teknikal. Mereka merupakan tenaga kerja penting dalam merealisasikan sesebuah penerbitan.
Anugerah Seri Angkasa juga diadakan untuk menggalakkan persaingan yang sihat dalam kalangan penyiar dan karyawan agar dapat menerbit dan menghasilkan rancangan-rancangan radio dan televisyen yang lebih kreatif, berkesan dan bermutu untuk menarik lebih ramai pendengar dan penonton selain bersaing di peringkat antarabangsa.
Penganjuran ASA pada awalnya hanya mengetengahkan beberapa kategori utama seperti drama terbaik, pelakon drama lelaki dan wanita, penulisan skrip, pengacaraan, juruhebah radio serta penerbitan dokumentari terbaik.
Mengiktiraf peranan radio pada satu ketika dahulu yang merupakan medium yang paling dekat dengan pendengar, ASA turut memperkenalkan kategori juruhebah terbaik. Pengiktirafan turut diberikan kepada bahagian sokongan yang banyak bekerja di belakang tabir seperti audio, jurukamera, penyunting visual serta penataan cahaya meskipun ketika era itu dunia penyiaran masih lagi dalam format hitam putih sehinggalah ia memasuki era televisyen warna.